Sewaktu bersekolah di Semenanjung Malaysia,kawan kawan selalu bertanya tentang Negeri sabah dan siapa bangsa Iranun,di mana dalam sijil kelahiran atau surat beranak saya dieja sebagai Illanun.Sering menjadi bahan ejekan dan gurauan rakan rakan tentang siapa kita,dari mana kita datang dan ke mana arah tuju kita.Dan setelah 30 tahun berlalu,saya mengakui terlalu memikirkan mengenai masalah identiti suku kaum saya,setelah menepis berbagai bagai soalan mengenai bangsa Iranun,benarkah dakwaan bahawa bangsa Iranun sama taraf seperti pelarian Filipina?Benarkah kami sememangnya telah duduk lama di negeri sabah berdasarkan gelombang pergerakan manusia?saya dapati kunci utama untuk mengungkaikan persoalan ini adalah kejujuran dan sikap berterus terang.
Saya punya sudut pandangan yang tersendiri yang mana jika anda semua tidak setuju tidak mengapa kerana saya bukan ahli politik,maka walaupun pandangan saya menentang arus dan menyangkal konsep parti,saya percaya pandangan ini tidak akan menimbulkan rasa kurang senang.
kalau dulu saya hanya menyatakan bangsa Iranun adalah sememangnya Iranun,pada masa ini saya ingin menjawab persoalan ini dengan kisah tarikh lahir saya.Saya dilahirkan pada bulan ogos 1967.Saya suka memikirkan bulan ogos sebagai bulan keramat kerana kebetulan saya berkongsi bulan dengan kemerdekaan.Bukan kerana saya berbangsa Iranun yang hampir tidak disebut dalam media arus perdana dan hampir hampir tidak dikenali di dalam negara sendiri tetapi berkongsi bulan dengan kelahiran negara cukup mengembirakan walaupun tidak melayakkan saya mendapat apa apa keistimewaan.
Saya hanyalah rakyat Malaysia biasa,makan ulam petai dan sambal belacan,sesekali berpeluang ke Ibu Negara kuala Lumpur lalu memborong kain di Jalan Tunku Abdul Rahman dan perhiasan kayu serta rehal di Mydin,turut sama bersesak sesak di Sogo jika ada jualan murah.
Tetapi dengan cara tersendiri,saya juga mencerminkan keseluruhan Malaysia,seandainya kita dapat menerima bahawa kejituan Malaysia adalah adunan nusa dan kepelbagaian budaya.Maka saya yang berbangsa Iranun,bumiputera Sabah hanyalah sebahagian dari aspek nusa kerana Malaysia tidak dapat lari dari variasi suku kaum dan keturunan yang pelbagai.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Malaysia merangkumi campuran ganjil serta kisah hidup semua unsur tersebut.
Tragedi nasional 13 mei menghantui kita seperti mimpi buruk namun dengan berlalunya masa kenangan itu semakin samar kesan umur dan kematangan kita.Maka jadilah saya seperti anak dara yang semakin mengembang di pinggang, semakin matang dan diharap semakin selesa dengan apa yang saya ada.namun ada pendapat nakal rakan bahawa semua negara adalah palsu dan nasionalisme itu adalah igauan dan impian manusia moden.Benarkah begitu...Selamat menyambut bulan kemerdekaan...merdeka..merdeka..merdeka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan