Rabu, 31 Mac 2010

DUN USUKAN DAN ANGIN PERUBAHAN

Sekali sekala mencari keseronokan menjelajah ke perkampungan di sekitar daerah kota Belud.Bergerak dari Pekan menuju ke kawasaan perkampungan di DUN Usukan yang diwakili oleYB Datuk Japlin Akim,anak jati Kota Belud lulusan Bachelor UPM.

Namun keheningan dan ketenangan pemikiran ini hancur setelah menjelajah di sekitar DUN Usukan.Jika sebelum ini,pemerhatian mengenai DUN Usukan menunjukkan betapa puas hatinya rakyat terhadap kerajaan BN,dan saya berpendapat bahawa saya akan menulis sesuatu yang berbentuk emosi yang saya harap akan dapat memberikan kefahaman kepada seluruh pengundi DUN Usukan betapa BN berada dalam keadaan yang selesa dan berada di puncak kekuasaan dan kegemilangan di mana pihak pembangkang dilihat mustahil untuk menawan kembali DUN Usukan.

Benarlah tanggapan rakan rakan bahawa DUN Usukan penuh dengan kejutan serta mempunyai perwatakan pengundi yang sukar diramal.Dari niat asal untuk menulis tulisan ringkas dan menyenangkan,saya turut menjadi keliru dan tertekan kerana pergolakan senyap yang melanda DUN Usukan menunjukkan betapa pandangan dan tanggapan awal saya telah diganggu gugat,kerana saya dapati pengundi DUN Usukan ini mempunyai pilihan dan pilihan itu sedang mereka fikirkan dengan serius.

Menulis mengenai perubahan pilihan pengundi DUN Usukan sepatutnya menjadikan saya teruja tetapi saya menjadi tidak teruja kerana ketakutan saya terhadap perubahan ini yang pastinya akan mengubah lanskap politik DUN Usukan bersama wakil rakyatnya dan ketakutan utama saya terhadap lompatan ke alam yang saya tidak dapat ramalkan.kebimbangan utama terhadap DUN Usukan bukan kerana calon calon pembangkang tetapi sekadar takut kepada kemungkinan perubahan.Sebagai ahli akar umbi yang tidak ada jawatan dalam Cawangan UMNO atau Bahagian,sebenarnya kita telah terbiasa dengan kesinambungan dan sebarang perubahan itu sendiri seakan menjadi sesuatu ancaman yang perlu ditolak.Dalam konteks DUN Usukan,perubahan yang dimaksudkan adalah sesuatu yang tidak diketahui,langsung tidak diketahui dan berlaku secara tiba tiba.
Walaupun bimbang dengan kemungkinan perubahan itu,sebagai rakyat yang terdidik melalui pilihanraya,kita harus membiasakan diri dengan kemungkinan itu.Sebarang perubahan haruslah dilihat sebagai kemungkinan yang positif kerana ketidakupayaan kita menerima sesuatu yang bercanggah dan bertentangan akan menjurus kepada kekacauan politik.Kita telah berjaya mengubah DUN Usukan dan diri kita sendiri dari segi sosial dan budaya dan tidak mustahil untuk kita membiasakan diri dengan idea perubahan dalam konteks politik dan kita telah diberi peluang untuk melakukannya melalui kebebasan memilih.
Dalam kerancakan projek projek baru di DUN ini,dirasakan ada golongan yang terpinggir jauh dari kehidupan politik dan ekonomi.Ada antara daerah mengundi yang UMNO/BN mengalami kekalahan seperti langsung tidak dipedulikan.Inilah antara perubahan yang dituntut kerana mereka tidak menyukai pemimpin dan hasilnya adalah para pengundi ini dihukum,dicerca dan tiada usaha untuk memenangi hati mereka agar kembali menyokong UMNO/BN.Para pengundi ini sebenarnya bukan bodoh kerana tidak menyokong UMNO/BN tetapi mereka adalah orang yang ada harga diri dan sikap bermusuhan sebenarnya hanya membuatkan mereka memalingkan muka dan menjauhi Barisan Nasional dan UMNO.
Inilah akibat keselesaan yang telah berakar umbi dan keselesaan ini sebenarnya memungkinkan angin perubahan di kalangan pengundi...siapa tahu...?Hanya dengan memenuhi janji pilihanraya serta memikirkan kembali apa kehendak pengundi di kawasaan ini sahaja yang boleh menidakkan perubahan.Ini adalah ujian keras terhadap Yang Berhormat ADUN Usukan kerana berpolitik di Usukan bererti pemenang akan meraih segala galanya. Keberanian YB menyingkirkan virus dalam usaha beliau untuk terus mengukuhkan kedudukan beliau dalam arus politik Bahagian Kota Belud sebenarnya adalah perubahan besar yang menunjukkan kematangan politik beliau dan kita menjangkakan akan berlaku lagi penyingkiran pegawai pegawai yang mengelilingi beliau kerana menurut perkiraan dan pemerhatian para pengundi,orang orang kepercayaan beliau masa kini hanyalah sokong yang membawa rebah atau dalam andaian yang lebih elok sebagai penumpang penumpang tua yang telah ketinggalan bas.Orang orang harapan beliau adalah orang orang serpihan USNO yang mentaliti dan cara pengurusan mereka masih berpegang erat kepada mentaliti USNO dan situasi ini tidak dapat diterima oleh golongan pengundi muda yang berfikiran terbuka dan berpendidikan .Kita hanya mampu berharap agar perjuangan beliau,apa pun kesudahan dan keputusannya akan menjadikan Usukan menjadi lebih matang.

Ahad, 28 Mac 2010

SENTIMEN POLITIK ANAK MUDA

Pertemuan dengan empat orang rakan persekolahan secara tidak sengaja (rakan persekolahan sewaktu belajar di Sekolah Menengah di Semenanjung Malaysia) kelmarin sebenarnya yang menjadi penggerak kepada saya untuk kembali mencatat di dalam ruangan ini.Dari berdiri di tempat kami terserempak,car park di hadapan Hyatt,sehingga membawa ke dalam lobby hotel dan pelbagai isu dan topik menjadi bualan kami.Bermula dengan perbualan mengenai kisah kisah silam dan menarik alam persekolahan,kisah di denda guru disiplin,kisah cinta monyet,merokok di dalam tandas,minum minuman keras di dalam bas semasa lawatan dan pelbagai kisah yang membuat kami berlima ketawa berbahak bahak sehingga membuat beberapa orang di lobby menjeling,mungkin hairan atau meluat melihat telatah kami,yang kalau diperhatikan ada di antara kami yang sudah beruban tetapi berbual laksana anak anak remaja yang baru mencari identiti diri.Sememangnya pertemuan denan rakan rakan sekolah dulu sentiasa memberikan kehangatan kepada saya,kerana dalam usia melebihi 40 tahun begini,ramai rakan rakan yang telah berjaya dan menceburi pelbagai bidang...dari politik,perniagaan,Doktor,kewartawanan serta bekerja dengan sektor awam dan swasta.Kerjaya dan latar belakang yang berbeza sentiasa menjadikan pertemuan kami tidak pernah sunyi dengan gelak ketawa.
"Politik....huh...politik hanyalah tentang kemenangan dan berada di pihak yang menang...selainnya hanyalah untuk orang bodoh dan aku bukan bodoh untuk berpolitik.."kata salah seorang rakan lama,seorang peguam di sebuah syarikat Guaman yang terkenal di Ibu Negeri.Kata kata ini saya rasakan begitu sinis dan menghina tetapi sebagai rakan saya faham dan tahu perangai kawan ini."politik bergantung pada bagaimana kau melihatnya...samada beli atau jual,aku rasa jual..bagi aku politik adalah tentang kepentingan diri..so,peduli apa dengan politik,jangan nak membebel pasal berkhidmat untuk rakyat,aku faham dan dan aku tahu semua itu karut..,"Tambah kawan itu dengan agresif dan menjadikan kami yang duduk semeja terdiam.saya perhatikan kenyataan kawan itu mula menarik minat beberapa orang politik yang duduk berhampiran kami dan situasi ini mula mendatangkan perasaan kurang enak kepada saya.
"Keputusan pilihan raya kita sudah jangkakan,buat apa buang masa bercakap mengenainya..,"tambah kawan itu lagi.kenyataan ini benar benar mengejutkan saya dan menjadikan seorang lagi rakan kami yang sememangnya terlibat secara aktif dalam politik di Bahagian XXXXXXX.. bungkam dan terdiam,begitu sekali pandangan politik orang muda yang mengumpul kekayaan melalui program integrasi pelajar dan dasar Ekonomi baru.
"Kita di Sabah telah mengalami gangguan politik yang lama,sebenarnya kita penat kawan,sebelum kemasukan UMNO ke Sabah,kita telah melalui berbagai peristiwa dan banyak pilihan raya kecil,pada saya seluruh proses politik itu nampak membosankan dan meletihkan,masalah PTI belum ada penyelesaian..ada kaitan dengan politik juga,so macam mana percaya dengan politik...buang masa la..,"Ujar seorang rakan yang berkerja di sebuah bank di Karamunsing.
Sepanjang perjalana pulang,saya memikirkan kembali apa yang telah diucapkan oleh dua orang rakan lama yang nampaknya mengasingkan diri dari politik.walaupun sebenarnya saya amat bersetuju dengan kenyataan mereka kerana saya sendiri tidak terbabit dengan politik malahan hak mengundi lima tahun sekali rasanya hanya digunakan sepenuhnya dalam PRU11.dalam PRU12,saya tidak berkesempatan mengundi.Peristiwa di Hyatt Hotel sebentar tadi mengingatkan saya kepada sebuah artikel mengenai orang Melayu bandar.Artikel itu antara lain menyatakan bahawa kekalahan UMNO dan BN di kawasaan bandar bukan kerana orang melayu bandar mengundi DAP,PAS atau PKR tetapi kekalahan UMNO/BN di kawasaan bandar adalah kerana kebanyakan orang melayu bandar telah tidak memperdulikan proses politik setelah mereka mendapat apa yang mereka mahu..pekerjaan yang baik,rumah,kereta dan pendidikan yang tinggi.Artikel itu seterusnya menyatakan bahawa dunia politik asing bagi mereka,bersifat luar bandar,kotor dan penuh rasuah serta tidak ada gaya.Bagi mereka,politik hanyalah untuk orang orang yang tidak memiliki hadiah pembangunan.
Rupanya kini..golongan muda memandang politik sebagai sesuatu perkara remeh berbanding dengan keinginan dan kemahuan golongan ini untuk mengumpul terutamanya kekayaan.walaupun tidak secara keseluruhan,saya melihat peristiwa ini sabagai menyimpang jauh dari aktiviti ibu bapa kita dahulu yang telah menyuburkan susun galur UMNO.Apa yang tidak dapat dinafikan ialah parti terus menyuarakan hasrat pengundi luar bandar tanpa mengira samada golongan profesional di bandar mengambil bahagian dalam politik atau sebaliknya

Jumaat, 26 Mac 2010

PRU13 : PILIHANRAYA MAYA

Sejak akhir akhir ini,berita politik menjadi semakin hangat dan kita semua sedia maklum bahawa fenomena ini sebenarnya merupakan bayangan atau gambaran bahawa pilihanraya ke 13 semakin menghampiri rakyat.Saya tidak berani meramalkan bila,siapa dan apa serta kenapa perlu diadakan PRU13 tetapi apa terlebih dahulu saya harus katakan betapa PRU13 yang bakal diadakan nanti merupakan pilihanraya maya,malahan lebih hebat dari PRU12.Samada pihak pembangkang atau kerajaan,akan menggunakan dengan semaksimum yang boleh kemajuan teknologi yang ada pada masa ini.
Pilihanraya pada zaman moden ini bukan setakat mendengar ceramah,semakan maklumat pengundi,mesyuarat awam dan sebagainya.Walaupun semua ini masih ada dan perlu semasa pilihanraya namun kepesatan teknologi maklumat memungkinkan pihak yang bertanding untuk menggunakan dan membangunkan prasarana teknologi maklumat yang paling pantas untuk mendahului lawan dan dalam hal ini,kita tidak boleh memperkecilkan kemampuan pihak pembangkang kerana tidak mustahil bagi mereka untuk membangunkan teknologi maklumat mereka ke tahap paling maju...siapa tahu?
satu satunya aktiviti yang tidak dapat dipisahkan dengan pilihanraya ialah ceramah.Samada di pihak kerajaan atau pembangkang,majlis ceramah semasa pilihanraya menjadi tempat menerangkan menifesto dan tidak dapat dinafikan ceramah menjadi tempat calon calon menabur janji untuk memikat pengundi...samada ditunaikan atau tidak selepas menang dalam pilihanraya adalah perkara yang berbeza.Sepanjang pemerhatian saya,ceramah pihak pembangkang mendapat sambutan yang panas kerana mereka menghentam lawan serta menteri kabinet satu per satu.
Pada era ini,pilihanraya dihidangkan dan media massa telah menarik masuk berita pilihanraya kedalam rumah anda melalui TV,akhbar dan Internet.Bagi pihak kerajaan,ceramah yang biasanya dihadiri oleh 1000 orang telah diganti kepentingannya dengan Buletin Utama yang disaksikan oleh 10 juta orang.Apabila komunikasi elektronik semakin mudah didapati,jangkauan para pengundi,samada penyokong kerajaan atau pembangkang terus berkembang dan trend terkini menyaksikan ceramah dialirkan melalui internet menjadikan kesan pilihanraya akan datang lebih sofistikated dan terasing dari kebiasaan pilihanraya sebelum ini.
Mengikuti pilihanraya maya sebenarnya bukan hanya tertumpu kepada tempoh berkempen selama sepuluh hari tetapi sebenarnya kempen ini bermula sebaik saja berakhir pru12 yang lalu,satu pengalaman yang agak asing dan merbahaya kerana pilihanraya maya ini membekalkan para pengundi dengan hujah hujah tanpa batasan serta tidak bertapis.Secara mudahnya..sebenarnya pilihanraya maya telah menenggelamkan sangkalan atau perdebatan secara adil.
terserah kepada kita untuk memanfaatkan kemajuan media di bumi bertuah ini.Kesilapan dalam membuat perhitungan bukan sahaja merugikan kita semua sebaliknya setiap masa kita akan dihidangkan dengan persoalan,fitnah,gurauan dan seribu macam catatan di kaca TV dan akhbar yang kita tatapSesuatu yang tetap tidak berubah ialah pilihanraya tetap kepunyaan rakyat untuk membentuk kerajaan.

Isnin, 22 Mac 2010

Guru dan Pengajaran Berguna

Dalam dunia moden hari ini,gaya pengajaran dan pembelajaran berubah dengan pantas,laksana roket yang dilepaskan dari hanger menerjah dan merobos awan menuju ke angkasa lepas.Ditambah lagi dengan kepesatan dan perkembangan Teknologi Maklumat menjadikan dunia perguruan,pengajaran dan pembelajaran seolah olah terkial kial dan lelah untuk mengejar dan membuntuti perubahan serta kemajuan teknologi dan pemikiran sejagat.Semenjak menceburkan diri dalam pendidikan selaku Guru Sandaran tidak terlatih pada tahun 1986,saya merasakan profesion ini masih menarik walaupun bergerak dan berkembang dengan kadar yang agak perlahan.Selaku seorang pendidik,saya selalu seronok bila bercerita mengenai dunia dan profesion perguruan.Guru guru terbaik bercakap dengan jelas dan tegas,secara terus dan penuh kehangatan dengan anda,berhenti selang beberapa minit untuk memastikan bahawa anda mengikuti topik yang sedang dibicarakan.
pada masa dahulu,ketika saya masih di alam persekolahan,gelaran Cikgu begitu penting sekali.Samada anda duduk atau berdiri tegak bila diperkenalkan dengan seorang cikgu dan mendengar apa kata mereka dan kalaupun anda tidak setuju,anda tidak akan membantah kerana mereka adalah cikgu,lebih tua maka mereka lebih tahu.
Dalam era dan gaya moden hari ini,kita harus bersangka baik dengan guru.Mungkin ini pandangan paling kolot tetapi cara kita melayan para pendidik,Guru dan Guru Besar memberikan gambaran kepada umum bagaimana cara kita menghargai kepentingan pendidikan secara lebih meluas.Semua orang akan tunduk,bongkok menyembah bila seorang ketua bahagian Umno atau YB MP/Adun berjalan masuk - jelmaan wang dan kuasa.
Malangnya hari ini,tiada siapa ambil pusing dan peduli akan seorang guru,jelmaan pendidikan,pelajaran dan ilmu pengetahuan.Guru semakin tidak penting dalam konteks kemodenan,suatu keadaan yang membimbangkan dalam asas negara kita mendekati pendidikan dan keadaan ini nyata membahayakan profesian perguruan dan dunia pendidikan di negara ini secara keseluruhannya.
Realitinya zaman ini,jika anda berjumpa seorang guru,mereka agak malu mengakui kerjaya mereka,gaji yang tidak seberapa dan ketidakpentingan mereka dalam zaman ini.Belum apa apa,mereka sudah malu dipanggil cikgu dan guru..siapa yang peduli.Apa yang kita nampak adalah kejayaan kita dan tidak berapa nampak kegagalan kita.Kita senaraikan segala yang pertama dan rekod kita dalam Guiness Book Of Records -Kereta Pertama,Angkasawan Negara Pertama,Bendera terbesar,bangunan Tertinggi (kini telah dikalahkan) tetapi kita terlupa kadar celik huruf kita yang rendah,kebanyakan sekolah rendah terutama di Sabah yang daif dan uzur (Bangunan kayu-Lama)
Semua orang perlukan pendidikan dan sememangnya ini adalah sesuatu yang baik dan ibu bapa serta pelajar masa kini sebenarnya mahukan sijil yang akan digantung di dinding bersama gambar konvokesyen tetapi tiada siapa yang kisah kepada mereka yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.Sumbangan mereka kepada masyarakat diabaikan begitu saja.Malahan lebih parah lagi,ada ibu bapa yang sudah mula berani mengambil tindakan undang undang terhadap guru kerana sebab musabab yang remeh temeh yang boleh diselesaikan di peringkat sekolah.Ini belum termasuk guru diserang oleh ibu bapa,kereta dicalar atau tayar kereta dibuang anginnya.Seperti di tempat saya bertugas baru baru ini,seorang guru telah dituduh menendang anak muridnya di pinggang dan ibu bapa murid tersebut mendakwa anaknya tidak boleh baring kerana kesakitan seterusnya guru tersebut diadukan ke pejabat pelajaran Daerah tanpa merujuk kepada pengurusan sekolah.Namun apa yang menghairankan bila disemak buku kedatangan,murid tersebut hadir malahan berlari lari semasa mengikuti mata pelajaran pendidikan Jasmani.Maka terpaksalah rakan guru tersebut turun naik ke PPD,disiasat oleh pegawai yang menguruskan disiplin dan berjumpa kaunselor,maka bergelutlah guru tersebut dengan tekanan untuk menidakkan tuduhan tersebut dan perkara sebegini sebenarnya meragut semangat dan motivasi guru tersebut serta meninggalkan kesan psikologi yang paling ketara di dalam jiwa dan pemikiran guru yang dituduh.
Perkara ini amat menyedihkan para guru dan nampak ketara kelemahan yang begitu besar dan kritikal kerana pendidikan dan pelajaran yang diterima oleh anak anak kita hanyalah sebaik mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya.Saya juga mempunyai anak yang bersekolah di peringkat menengah dan rendah.Saya amat tertarik dengan Majlis Penyerahan Anak yang dianjurkan oleh Sekolah menengah Sains Kota Kinabalu,Sabah dimana majlis penyerahan ini antara lainnya bertujuan untuk memberi mandat dan amanah kepada Pengetua dan Guru Guru untuk mendidik anak anak kita,bermula dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima dengan sebaik baiknya dari segi perkembangan sahsiah dan pelajaran seperti kita mendidik anak anak di rumah.Sebagai bapa dan sebagai guru,adakalanya guru keterlaluan menganggap murid muridnya sebagai anak,kerana komitmen dan motivasi yang tinggi dan kepuasan bagi seorang guru ialah apabila melihat anak anak murid mereka boleh menguasai asas asas membaca,menulis dan mengira.Saya juga pernah merasai pahit maung bergelar seorang guru...melayan guru bak sampah tidak akan menguntungkan sesiapa.