Isnin, 22 Mac 2010

Guru dan Pengajaran Berguna

Dalam dunia moden hari ini,gaya pengajaran dan pembelajaran berubah dengan pantas,laksana roket yang dilepaskan dari hanger menerjah dan merobos awan menuju ke angkasa lepas.Ditambah lagi dengan kepesatan dan perkembangan Teknologi Maklumat menjadikan dunia perguruan,pengajaran dan pembelajaran seolah olah terkial kial dan lelah untuk mengejar dan membuntuti perubahan serta kemajuan teknologi dan pemikiran sejagat.Semenjak menceburkan diri dalam pendidikan selaku Guru Sandaran tidak terlatih pada tahun 1986,saya merasakan profesion ini masih menarik walaupun bergerak dan berkembang dengan kadar yang agak perlahan.Selaku seorang pendidik,saya selalu seronok bila bercerita mengenai dunia dan profesion perguruan.Guru guru terbaik bercakap dengan jelas dan tegas,secara terus dan penuh kehangatan dengan anda,berhenti selang beberapa minit untuk memastikan bahawa anda mengikuti topik yang sedang dibicarakan.
pada masa dahulu,ketika saya masih di alam persekolahan,gelaran Cikgu begitu penting sekali.Samada anda duduk atau berdiri tegak bila diperkenalkan dengan seorang cikgu dan mendengar apa kata mereka dan kalaupun anda tidak setuju,anda tidak akan membantah kerana mereka adalah cikgu,lebih tua maka mereka lebih tahu.
Dalam era dan gaya moden hari ini,kita harus bersangka baik dengan guru.Mungkin ini pandangan paling kolot tetapi cara kita melayan para pendidik,Guru dan Guru Besar memberikan gambaran kepada umum bagaimana cara kita menghargai kepentingan pendidikan secara lebih meluas.Semua orang akan tunduk,bongkok menyembah bila seorang ketua bahagian Umno atau YB MP/Adun berjalan masuk - jelmaan wang dan kuasa.
Malangnya hari ini,tiada siapa ambil pusing dan peduli akan seorang guru,jelmaan pendidikan,pelajaran dan ilmu pengetahuan.Guru semakin tidak penting dalam konteks kemodenan,suatu keadaan yang membimbangkan dalam asas negara kita mendekati pendidikan dan keadaan ini nyata membahayakan profesian perguruan dan dunia pendidikan di negara ini secara keseluruhannya.
Realitinya zaman ini,jika anda berjumpa seorang guru,mereka agak malu mengakui kerjaya mereka,gaji yang tidak seberapa dan ketidakpentingan mereka dalam zaman ini.Belum apa apa,mereka sudah malu dipanggil cikgu dan guru..siapa yang peduli.Apa yang kita nampak adalah kejayaan kita dan tidak berapa nampak kegagalan kita.Kita senaraikan segala yang pertama dan rekod kita dalam Guiness Book Of Records -Kereta Pertama,Angkasawan Negara Pertama,Bendera terbesar,bangunan Tertinggi (kini telah dikalahkan) tetapi kita terlupa kadar celik huruf kita yang rendah,kebanyakan sekolah rendah terutama di Sabah yang daif dan uzur (Bangunan kayu-Lama)
Semua orang perlukan pendidikan dan sememangnya ini adalah sesuatu yang baik dan ibu bapa serta pelajar masa kini sebenarnya mahukan sijil yang akan digantung di dinding bersama gambar konvokesyen tetapi tiada siapa yang kisah kepada mereka yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.Sumbangan mereka kepada masyarakat diabaikan begitu saja.Malahan lebih parah lagi,ada ibu bapa yang sudah mula berani mengambil tindakan undang undang terhadap guru kerana sebab musabab yang remeh temeh yang boleh diselesaikan di peringkat sekolah.Ini belum termasuk guru diserang oleh ibu bapa,kereta dicalar atau tayar kereta dibuang anginnya.Seperti di tempat saya bertugas baru baru ini,seorang guru telah dituduh menendang anak muridnya di pinggang dan ibu bapa murid tersebut mendakwa anaknya tidak boleh baring kerana kesakitan seterusnya guru tersebut diadukan ke pejabat pelajaran Daerah tanpa merujuk kepada pengurusan sekolah.Namun apa yang menghairankan bila disemak buku kedatangan,murid tersebut hadir malahan berlari lari semasa mengikuti mata pelajaran pendidikan Jasmani.Maka terpaksalah rakan guru tersebut turun naik ke PPD,disiasat oleh pegawai yang menguruskan disiplin dan berjumpa kaunselor,maka bergelutlah guru tersebut dengan tekanan untuk menidakkan tuduhan tersebut dan perkara sebegini sebenarnya meragut semangat dan motivasi guru tersebut serta meninggalkan kesan psikologi yang paling ketara di dalam jiwa dan pemikiran guru yang dituduh.
Perkara ini amat menyedihkan para guru dan nampak ketara kelemahan yang begitu besar dan kritikal kerana pendidikan dan pelajaran yang diterima oleh anak anak kita hanyalah sebaik mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya.Saya juga mempunyai anak yang bersekolah di peringkat menengah dan rendah.Saya amat tertarik dengan Majlis Penyerahan Anak yang dianjurkan oleh Sekolah menengah Sains Kota Kinabalu,Sabah dimana majlis penyerahan ini antara lainnya bertujuan untuk memberi mandat dan amanah kepada Pengetua dan Guru Guru untuk mendidik anak anak kita,bermula dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima dengan sebaik baiknya dari segi perkembangan sahsiah dan pelajaran seperti kita mendidik anak anak di rumah.Sebagai bapa dan sebagai guru,adakalanya guru keterlaluan menganggap murid muridnya sebagai anak,kerana komitmen dan motivasi yang tinggi dan kepuasan bagi seorang guru ialah apabila melihat anak anak murid mereka boleh menguasai asas asas membaca,menulis dan mengira.Saya juga pernah merasai pahit maung bergelar seorang guru...melayan guru bak sampah tidak akan menguntungkan sesiapa.